Thursday 26 April 2012

Sejarah Sekolah

Sekolah Menengah Rendah Jalan Loop (SMR JL) mula dibina pada tahun 1980 dan siap pembinaannya pada tahun 1981. Nama sekolah adalah bersempena nama jalan yang menuju ke sekolah ini. Pada peringkat awal pembinaan, SMRJL mempunyai 2 blok bangunan sahaja iaitu Blok Efisien dan Blok Fadilah. Terdapat 13 buah bilik darjah, 2 buah makmal, sebuah pejabat dan sebuah bilik guru. Ia mula beroperasi pada 4 Januari 1982. Pada ketika itu cuma terdapat 14 orang guru dan 310 orang murid sahaja. Pada 11 November 1983, SMRJK telah dirasmikan oleh Dato’ Rais Yatim, Menteri Kemajuan Tanah merangkap Pemangku Menteri Pendidikan ketika itu.
Mulai tahun 1984 (hingga sekarang) terdapat dua sesi persekolahan iaitu sesi pagi dan sesi petang. Pada tahun 1986 pihak Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) SMRJL telah mengusahakan pembinaan bangunan setingkat yang mengandungi 4 buah kelas iaitu di Blok Harmoni.
Seterusnya pada tahun 1990, Blok Gemilang didirikan. Ia bertujuan untuk menampung pelajar yang semakin bertambah. Pada tahun yang sama nama Sekolah Menengah Rendah Jalan Loop telah ditukarkan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Loop (SMK JL).
Sebuah bilik sumber dan sebuah bilik tayangan telah diadakan pada tahun 1992. Pada tahun 1997 pula, Blok Arif, Blok Bestari, Blok Inovatif dan Blok Jujur dengan bangunan 3 tingkat dibina bagi menampung bilangan pelajar yang semakin bertambah. Bangunan-bangunan ini terdiri daripada bilik-bilik darjah, bengkel kemahiran hidup dan makmal sains. Bengkel kemahiran hidup terdiri daripada bengkel kayu dan logam, bengkel pertanian, bilik jahitan dan bilik masakan. Makmal sains pula terdiri daripada 3 buah makmal sains biasa dan 3 buah makmal sains tulin iaitu makmal biologi, makmal kimia dan makmal fizik.
Atas daya usaha dan ketokohan kepemimpinan pengetua SMKJL, En. Chor Swee Meng, pada bulan Jun 1997 sekolah ini menerpa suatu sejarah baru lagi dengan pembinaan tapak dan bumbung dewan. Pelbagai usaha telah dijalankan untuk mengisi tabung pembinaan dewan termasuklah sumbangan YB. Dato’ Wong See Wah, YB. Dato’ Goh Siow Huat, Datuk Tan Tuan Kin, sumbangan PIBG, derma syarikat-syarikat serta beberapa projek sekolah seperti projek Gunting Rambut Amal Bakti, Hari Kantin dan Jogathon. Pada 22 Mac 1999, Majlis Makan Malam sempena mengisi tabung pembinaan dewan diadakan dan dirasmikan oleh YB Dato Wong See Wah, Timbalan Menteri Kewangan. Pada malam bersejarah itu juga nama sekolah telah ditukarkan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Mewah. Majlis telah disempunakan oleh Tuan Haji Sudin bin Kumari, Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan. Tujuan penukaran nama sekolah adalah untuk menukar persepsi umum terhadap senario dan prestasi sekolah.
Di bawah kepimpinan En. Liong Kam Chong pula, beliau berasa perlu dewan serbaguna sekolah yang dibina atas pembiayaan sendiri diberi nama khas dan dirasmikan oleh tokoh tempatan. Justeru itu pada 6 April 2004, Dewan Seri Mewah telah dirasmikan oleh oleh YAB Dato’Utama Haji Mohammad Bin Haji Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan. Pada tahun 2005 dua buah makmal komputer dan sebuah balai anjung juga telah dibina.
Seterusnya di bawah kepimpinan En. Wong Kam Piew, Pengetua Kanan SMKBM beliau telah menaiktarafkan kemudahan prasarana seperti arena tinju, perpustakaan, bilik pusat latihan, tempat letak kereta serta melaksanakan projek-projek menceriakan landskap sekolah. Keseluruhannya, kini sekolah memiliki 10 blok bangunan dengan 2 453 orang pelajar dan 113 orang guru.
Kehadiran Pengetua baru En. Cheah Lef Ngan pada bulan April yang lalu membawa seribu harapan agar SMK Bukit Mewah akan lebih maju lagi pada masa hadapan. Pelbagai prasarana telah dibaik pulih dan ditambah bagi keselesaan seluruh warga sekolah. Antara projek yang berjaya dilaksanakan sebaik saja beliau mentadbir ialah menambah bilangan komputer baru lengkap talian internet untuk para guru di Pusat Sumber. Perpustakaan juga bakal berwajah baru apabila banyak perkembangan fizikal baru yang dibuat seperti menambah kaunter baru, mengubahsuai dalaman Perpustakaan dan banyak lagi. Dewan kini lebih selesa dengan pemasangan penebat baru. Projek jogathon bagi mengumpul dana pembangunan sekolah telah dilancarkan baru-baru ini diharap dapat mencapai sasaran yang dijangkakan. Semoga terus maju.